#repost
《tentang bunga》
Petang itu, Mel berlari lari anak mendapatkan ibunya yang lagi sedang berkebun di tanah lapang sebelah rumahnya.
Mel tersenyum melihat ibunya. Lambat-lambat, senyum nipis itu bertukar menjadi satu sengihan nakal.
Timbul dibenaknya satu akal, untuk mengganggu sedikit kerja si ibu tercinta. Dia jalan perlahan sambil berjingkit, memastikan setiap langkahnya tidak ibu perasan.
Kira kira lima jengkal sebelum sempat dia mencuit pinggang ibu, ibu sudah pun berpaling ke arahnya dan,
"Bhaa!"
"Arghh!" Jerit anak kecil berlingkungan lima tahun itu.
Akalnya panjang, namun ibu terlebih dahulu memotong. Ibu hanya tergelak manja melihat ulah puteri keduanya yang juga paling bongsu ini.
"Ibu...! Tekejut Mel." Ujar Mel seusai menjerit tadi. Dengan suaranya yang comel, ditambah lagi dengan kepetahan mulut si cilik itu bersuara. Erm... ia sesuatu yang mendamaikan jiwa seorang ibu.
Apalagi anugerah yang paling indah dalam hidup seorang tua bernama ibu? Selain dapat melihat anaknya tumbuh besar di hadapan mata?
Selajur itu, ibu pun meneruskan pekerjaannya yang tergendala sebentar tadi.
"Ibu," seru Mel.
"Ya Mel?" Sahut ibu, lembut. Dia sudah tahu, pasti ada sesuatu yang muncul di benak anaknya. Yang bakal diutarakan sebagai soalan yang membuka lagi minda anaknya itu untuk meneroka tentang kejadian alam.
"Ibu dah solat?" Tanya Mel. Terhenti sebentar, mengingati sesuatu. Lalu menyambung,
"Asar?"
Ibu tersenyum. Ulah anaknya ini, benar-benar mewarnakan rasa rindu ibu terhadap arwah ayah Mel yang juga suaminya.
"Dah, sayang."
Mel terangguk seperti sedang berfikir, sambil matanya menghadap pada bunga yang sudah mengembang besar, terserlah seri pada setiap kelopaknya yang kekuningan itu, di taman bunga mini milik ibu.
Tangannya di angkat untuk mencapai bunga tersebut. Tidak cukup dengan itu, kakinya dijingkit untuk menyamakan tingginya dengan bunga tersebut.
Tidak lama kemudian, dia berdiri semula seperti biasa tanpa menjingkit.
Lalu berjalan pula melihat bunga yang lain, sambil berkata;
"Ibu, yang ni.. bunga mawar. Kan?"
Ibu mengangguk, sambil tersenyum.
Mel menghidu bau bunga tersebut, lalu menyimpulkan, "erm..Harum. ibu? sebab dia harum ke, dia jadi perhatian?"
Ibu tersenyum, lalu berkata sambil mendukung anaknya, dibelai dan diusap kepala comel putrinya itu dan berkata,
"Itu, salah satunya. Mawar juga lambang muslimah sejati"
"Kenapa?"
"Betul Mel nak tahu?" Ibu menginginkan kepastian. Anak suntinya itu baru berumur setahun jagung. Mana mungkin dapat memahami sepenuhnya. Tapi tak mengapa, sekadar mahu memuaskan kehendak putrinya, maka ia wajar diberitahu.
"Bila kita jadi perempuan, kita tak boleh jadi yang mudah didekati oleh orang yang tak dikenali. Tengok pada duri bunga mawar. Duri tulah, yang selamatkan dia dari dicabut oleh tangan-tangan yang tak berfikir sebelum bertindak."
Mel berkerut. Cuba mencerna sebaik mungkin hujah permaisurinya. Lalu dia hanya mengangguk, bererti dia puas dan faham.
Mel mengunjurkan tangan sebelah kanannya lalu dihala pada satu bunga yang tadi dia sentuh.
"Ibu, tu. Yang kuning tu.., bunga apa? Lawaaaa. Nampak sempurna taman bunga ni."
Ibu meletakkan Mel ke tanah agar Mel berdiri seperti sediakala.
Ibu memegang bunga tersebut,
"Yang ini?"
"Hurm," jawab Mel sambul mengangguk, manja. Rambut tocangnya sedikit bergoyang saat dia berkelakuan sebegitu. Comel!
"Nama bunga ni, bunga tahi ayam"
Mel berkerut. Baginya nama itu sama sekali tidak sesuai dengan bunga yang secantik itu. Bau bunga tersebut pun, bukanlah busuk seperti tahi ayam. Jadi kenapa dia digelar sebegitu?
Barangkali ibu terlihat reaksi anaknya yang satu itu, lalu ibu pun bertanya;
"Kenapa Mel?"
"Nama bunga ni.. tak sedap. Bukanke bunga ni lawa?"
Ibu mengangguk, bersetuju.
"Erm, mungkin sebab dia dibaja dengan tahi ayam?"
Mel semakin pelik.
"Mustahil semua bunga dipanggil bunga tahi ayam cuma dengan sebab dia di baja dengan tahi ayam. Kan ibu?" Tingkah anak kecil itu.
Baginya, ia sama sekali tidak adil untuk menamakan bunga indah itu
seperti itu. Bunga itu layak mendapat nama yang lebih indah.
Sekalipun jika bunga itu diletakkan pada laman, pasti mempu mekar bersama warna kuningnya.
Warna itu yang menceriakan suasana. Mengisi ruang dengan senyuman. Bukankah indah?
Jadi kenapa ia dipanggil dengan nama yang sedemikian buruknya? Kasihan bunga..,
Ibu hanya tersenyum. Benar juga apa yang dikatakan oleh anaknya. Benarlah kata arwah suaminya, anak ini; adalah anugerah paling besar dari Tuhan.
Maka jagalah anak cilik ini. Biarkan dia tumbuh dengan melihat dan belajar. Jangan biar dia berjalan mem'babi-buta' . Kelak, celik akalnya; didiklah dengan sefasih fasih pekerti persis yang pernah diiktiraf agama.
Biar dia mencari. Lalu perbalikkan semula jawapan pada kebesaran Tuhan.
Ibu mengucup dahi anaknya, sambil matanya terpejam. Menikmati saat saat ini. Mel? Dia lebih suka diperlaku sedemikian rupa.
Terlampau manja dengan ibu, apabila ada sahaja hatta sedikit masa yang terluang.
Ibu memandang bunga tahi ayam yang menjadi perbahasan anak bongsunya sebentar tadi.
Lalu berbisik sendiri seolah bermonolog memberitahu intuisi,
'Bunga, kau tidak sejijik tahi ayam. Kau *bunga indah yang mewangi sukma* .'
Lalu berzikir memuji keagungan Tuhan dengan lafaz tasbih, tahmid dan takbir berulang kali. Kerana, telah mengurniakan dia si kecil yang suka berfikir ini.
-------TAMAT------ ❤
Tajuk Cerpen:
《tentang bunga》
TamatTulis:
22:05||MalamTengkujuh,27November2ribu8belas
#Lailawrite
(Rasa macam dah lama tak buat cerpen)

Gracias!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan